2. Paste this code immediately after the opening tag: SmartWills FAQ: General Will Writing And SmartWills Products

Soalan Lazim

Penulisan Wasiat

Apakah maksud wasiat?

Wasiat adalah pengisytiharan sah yang dibuat oleh seseorang semasa hayatnya untuk menyerahkan harta atau manfaat tertentu kepada penerima (penerima wasiat) setelah kematiannya. Ia adalah satu bentuk perancangan harta yang memastikan harta dan amanah pewasiat diuruskan mengikut kehendaknya selepas beliau meninggal dunia.

Apakah yang dimaksudkan dengan wasiat yang mengikat secara sah?

Wasiat yang mengikat secara sah bermaksud dokumen bertulis yang dibuat oleh seseorang (pewasiat) semasa hayatnya, yang mengandungi hasratnya tentang pembahagian harta selepas kematiannya, dan yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh undang-undang sehingga ia boleh dilaksanakan oleh mahkamah. Wasiat yang sah akan memastikan harta pewasiat diagihkan mengikut kehendaknya selepas kematian, bukan mengikut faraid semata-mata, dan boleh mengurangkan pertikaian antara waris. Justeru, syarat yang mengikat wasiat secara sah adalah sebagaimana yang berikut:-

Syarat Pewasiat
• Telah mencapai umur lapan belas tahun;
• Sempurna akal;
• Bertindak dengan sukarela dan tidak dipaksa; dan
• Tidak dihalang daripada mengurus hartanya.

Syarat Penerima Wasiat
• Diketahui dengan jelas penerima wasiat;
• Boleh menerima harta yang diwasiatkan menurut Hukum Syarak; dan
• Mempunyai kelayakan untuk memiliki dan mengurus harta yang diwasiatkan
menurut mana-mana undang-undang bertulis.

Syarat Harta yang di Wasiat
• Sesuatu yang boleh dijadikan harta pusaka atau boleh dijual beli semasa
hidup pewasiat;
• Sesuatu yang bernilai dan boleh dipindahmilikkan selepas kematian
pewasiat;
• Sesuatu yang wujud dalam milikan pewasiat jika ditentukan. ATAU wujud
semasa kematian pewasiat jika tidak ditentukan; dan
• Sesuatu yang harus dan bukan sesuatu yang haram atau maksiat.

Adakah wasiat perlu disetemkan?

Tidak. Wasiat yang mengikat secara sah tidak memerlukan cop/setem di pejabat LHDN.

Akta manakah yang mengawal wasiat orang Islam di Malaysia?

Wasiat orang Islam di Malaysia dikawal di bawah undang-undang Syariah dan Enakmen Wasiat Orang Islam di setiap negeri. Ini bermaksud setiap negeri mempunyai enakmen tersendiri yang menetapkan prosedur dan peraturan berkaitan wasiat bagi orang Islam di negeri tersebut.

Mengapa saya perlu membuat wasiat?

Penulisan wasiat merupakan alternatif bagi pewasiat untuk menyimpan hasratnya tentang bagaimana asetnya perlu diagihkan selepas mereka meninggal dunia selain diagihkan secara faraid. Tanpa adanya wasiat, perlantikan pentadbir dan proses menguruskan harta pusaka akan menjadi rumit dan memakan masa yang lama dan kos yang tinggi.

    Mengapa saya memerlukan wasiat jika saya tidak mempunyai banyak aset untuk diberikan kepada keluarga saya selepas kematian saya?

    Tanpa mengira saiz atau nilai aset anda, ia tetap mempunyai nilai bagi orang yang anda sayangi, terutamanya bagi mereka yang bergantung kepada anda. Membuat wasiat adalah tentang meninggalkan warisan kasih sayang dan memastikan perlindungan terhadap harta yang telah anda kumpulkan. Selain itu, seiring dengan
    berlalunya masa, aset anda mungkin meningkat nilainya. Wasiat boleh merangkumi aset yang diperoleh atau diwarisi pada masa hadapan.

    Saya dalam lingkungan usia 30-an/40-an. Bukankah terlalu muda untuk menulis wasiat?

    Kehidupan tidak dapat diramal; apa yang kita anggap biasa hari ini mungkin berubah esok. Sebaik sahaja anda mencapai umur lapan belas tahun, adalah bijak untuk mempertimbangkan menulis wasiat. Dengan cara ini, anda memastikan orang tersayang anda dapat mewarisi aset anda tanpa kelewatan.

    Adakah wasiat itu wajib?

    Wasiat di dalam Islam tidaklah wajib secara mutlak. Hukum wasiat adalah sunnah (digalakkan) dan boleh menjadi wajib dalam keadaan tertentu, seperti ketika seseorang mempunyai tanggungangjawab agama yang belum ditunaikan (seperti hutang, zakat atau haji) yang dikhuatiri tidak akan terlaksa selepas kematiannya jika tidak diwasiatkan. Penjelasan lebih lanjut:

    • Umumnya Sunat:

    Dalam keadaan biasa, berwasiat adalah perbuatan yang digalakkan dalam Islam. Ia memberikan peluang kepada seseorang untuk berbuat baik dan membantu orang lain, terutama mereka yang memerlukan, selepas kematiannya.

    • Boleh Menjadi Wajib:

    Wasiat menjadi wajib apabila seseorang mempunyai tanggungan yang perlu ditunaikan, seperti hutang yang belum dibayar, zakat yang belum ditunaikan, atau haji yang belum dilaksanakan, dan dia khuatir tanggungan tersebut tidak akan terlaksana setelah kematiannya.

    • Had wasiat

    Wasiat kepada bukan waris yang tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka pewasiat akan terus boleh dilaksanakan selepas segala hutangnya selesai tanpa perlu persetujuan daripada ahli waris.

    Sekiranya wasiat kepada ahli waris, perlu persetujuan ahli waris yang lain.

    Sekiranya wasiat kepada bukan ahli waris dan ianya melebihi 1/3 maka perlu persetujuan ahli waris.

    • Wasiat dan Faraid:

    Wasiat tidak membatalkan hukum faraid, tetapi ia dilaksanakan sebelum pembahagian harta pusaka mengikut faraid.

    • Tujuan Wasiat:

    Tujuan utama wasiat adalah untuk membantu orang lain, menyelesaikan tanggungjawab agama dan memastikan harta pusaka diagihkan dengan adil dan mengikut kehendak pewasiat.

      Adakah anda memerlukan peguam untuk menyediakan wasiat?

      Di Malaysia, undang-undang tidak mewajibkan wasiat disediakan oleh peguam. Selagi wasiat itu dalam bentuk bertulis dan memenuhi kehendak undang-undang yang berkaitan, ia dianggap sah dan berkuatkuasa.

      Apa yang berlaku jika saya meninggal dunia tanpa wasiat?

      Perkara yang akan terjadi jika seseorang itu meninggal tanpa wasiat adalah sebagaimana berikut:-
      • Harta pusaka akan terbeku akibat tiada pentadbir.
      • Waris buntu dan terbeban untuk menguruskan harta pusaka sekiranya si mati tidak membuat wasiat.
      • Waris mengalami masalah dalam mengenalpasti harta serta hutang yang ditinggalkan oleh si mati.
      • Proses pentadbiran harta pusaka tanpa wasiat akan mengambil masa yang lama. Ia akan menyebabkan waris lewat mendapat hak mereka yang sepatutnya. Berkemungkinan juga akan berlakunya kematian waris dalam tempoh tersebut
      dan keadaan ini akan lebih menyukarkan urusan pentadbiran pusaka.

      Siapa yang boleh saya lantik sebagai Pelaksana Wasiat saya?

      Wasi adalah seorang yang dilantik oleh pemilik harta pusaka peninggalannya semasa beliau masih hidup dan kebiasaannya Wasi dilantik dalam kalangan waris pemilik sendiri. Seorang muslim yang cukup umur 18 tahun, waras, bersetuju dengan perlantikan tersebut dan mampu untuk menguruskan pentadbiran harta pusaka anda.

      Apakah tanggungjawab Pelaksana dalam wasiat saya?

      Pelaksana wasiat anda berperanan sebagai pemegang amanah, melindungi aset anda
      sehingga ia boleh diagihkan kepada benefisiari. Sekiranya terdapat perbelanjaan munasabah semasa pelaksanaan wasiat, pelaksana boleh menuntutnya di bawah Akta Pemegang Amanah. Walaupun seorang pelaksana lazimnya mencukupi untuk wasiat anda, anda perlu melantik sekurang-kurangnya dua (2) pelaksana jika terdapat benefisiari di bawah umur 18 tahun.

      Tanggungjawab pelaksana dalam wasiat anda termasuk perkara berikut:
      • Mencari wasiat asal.
      • Memohon Geran Probet dan melaksanakan pengagihan aset selepas itu.
      • Mengumpulkan semua aset.
      • Membayar semua hutang dan cukai yang tertunggak.
      • Mengagihkan aset mengikut arahan dalam wasiat kepada benefisiari.

      Bagaimana cara ingin melaksanakan wasiat?

      Berikut adalah langkah-langkah lebih terperinci:

      – Niat yang Ikhlas: Niat yang ikhlas dan sukarela adalah asas dalam melaksanakan wasiat.

      – Penulisan Wasiat: Wasiat sebaiknya ditulis secara bertulis untuk mengelakkan kekeliruan dan perselisihan. 

      – Saksi: Pastikan ada dua orang saksi yang adil untuk menyaksikan penulisan wasiat. 

      – Kadar Wasiat: Had maksimum harta yang boleh diwasiatkan kepada bukan waris adalah satu pertiga (1/3) daripada keseluruhan harta. 

      – Penerima Wasiat: Penerima wasiat mestilah wujud, diketahui, dan berhak memiliki harta tersebut. 

      Harta yang Boleh Diwasiatkan: Harta yang diwasiatkan mestilah harta yang sah di sisi syarak, boleh dimanfaatkan, dan bukan terikat dengan hutang. 

      – Persetujuan Waris: Jika ingin mewasiatkan lebih daripada satu pertiga (1/3) kepada bukan waris, atau mewasiatkan kepada waris, persetujuan semua waris diperlukan. 

      – Pelaksanaan Wasiat: Wasiat akan dilaksanakan selepas kematian pewasiat oleh pihak yang diberi kuasa, seperti wasi atau pentadbir pusaka. 

      Selain itu, penting untuk mendapatkan nasihat daripada pihak kami dalam bidang wasiat. Sila baca butiran pada halaman Pelaksanaan Wasiat di laman web kami.

      Siapa yang boleh menjadi Penjaga?

      Sesiapa sahaja boleh dilantik sebagai penjaga untuk anak anda yang masih kecil, asalkan mereka memenuhi kriteria berikut : 

      1. Berumur 18 tahun ke atas
      2. Waras fikiran
      3. Mampu mengendalikan harta (bukan safih)

      Siapa yang boleh menjadi benefisiari kepada wasiat saya?

      Secara asasnya, anda boleh menamakan sesiapa sahaja sebagai benefisiari kepada wasiat anda, termasuk:

      1. Anak angkat
      2. Sahabat handai
      3. Ahli keluarga yang bukan disenaraikan sebagai ahli waris (sebagai contoh cucu)
      4. Badan Kebajikan / Majlis Agama Islam
      5. Masjid / Surau

      Dengan syarat harta yang diwasiatkan tersebut mestilah tidak melebihi 1/3 bahagian.

      Apa yang berlaku jika benefisiari meninggal dunia semasa proses pelaksanaan?

      Jika seorang benefisiari meninggal dunia semasa proses pelaksanaan wasiat dalam Islam, bahagian yang diperuntukkan untuknya akan dibahagikan mengikut cara berikut:

      1. Jika benefisiari tersebut mempunyai waris sendiri:

      Bahagian benefisiari yang meninggal dunia itu akan menjadi harta pusaka dan diagihkan kepada warisnya mengikut hukum faraid.

      1. Jika benefisiari tersebut tidak mempunyai waris:

      Bahagian tersebut akan dikembalikan kepada harta pusaka asal dan diagihkan kepada benefisiari lain yang masih hidup mengikut wasiat atau kepada waris pewasiat jika tiada benefisiari lain.

      1. Jika wasiat itu ditujukan kepada beberapa benefisiari:

      Bahagian benefisiari yang meninggal dunia akan dibahagikan sama rata antara benefisiari lain yang masih hidup.

      1. Jika wasiat itu ditujukan kepada satu benefisiari sahaja:

      Jika hanya ada satu benefisiari dan dia meninggal dunia sebelum pewasiat, maka harta tersebut akan menjadi harta pusaka dan diagihkan kepada waris pewasiat.

      1. Jika wasiat itu dibuat secara berturutan:

      Jika wasiat itu diberikan kepada beberapa orang secara berturutan, bahagian benefisiari yang meninggal dunia akan diberikan kepada benefisiari seterusnya dalam turutan. Jika tiada lagi benefisiari dalam turutan, maka harta tersebut akan menjadi harta pusaka.

      1. Jika wasiat itu ditujukan kepada benefisiari yang belum wujud:

      Jika benefisiari itu tidak wujud pada masa pewasiat meninggal dunia, maka harta tersebut akan ditangguhkan sehingga benefisiari tersebut wujud. Jika benefisiari itu meninggal dunia sebelum wujud, bahagiannya akan menjadi harta pusaka.

      Penting untuk diperhatikan bahawa pelaksanaan wasiat dalam Islam perlu mengambil kira hukum faraid dan persetujuan waris.

      Siapa yang boleh menjadi saksi kepada wasiat saya?

      Saksi kepada wasiat anda mesti memenuhi kriteria berikut:

      1. Saksi bukan benefisiari
      2. Saksi bukan ahli keluarga terdekat benefisiari
      3. Saksi mesti berumur 18 tahun ke atas
      4. Saksi mesti berfikiran waras
      5. Saksi adalah pihak ketiga kepada pembuat wasiat (contohnya: rakan, penulis wasiat)
      6. Saksi hendaklah dua (2) orang lelaki

      Apakah tanggungjawab saksi?

      Tanggungjawab saksi kepada wasiat adalah:

      • Memastikan pembuat wasiat waras fikiran semasa menulis wasiat.
      • Memastikan pembuat wasiat menandatangani wasiat sendiri, meletakkan cap jari, atau -mengarahkan orang lain untuk menandatangani bagi pihaknya.
      • Memastikan pembuat wasiat menandatangani setiap halaman dan menyediakan maklumat terperinci pada halaman terakhir wasiat.
      • Saksi tidak perlu mengetahui atau memahami kandungan wasiat.

      Perlukah saya menyenaraikan aset luar negara yang saya miliki dalam wasiat saya?

      Ya. Wasiat membolehkan anda menyenaraikan semua aset yang anda miliki, baik di Malaysia mahupun di luar negara, memastikan keluarga atau penerima manfaat anda mendapat maklumat penuh. Ini memudahkan proses pengagihan dan mengurangkan kemungkinan pertikaian pada masa hadapan. Jika anda memiliki aset di luar negara, selain menyenaraikannya dalam wasiat di Malaysia, anda juga perlu merangka wasiat yang berasingan di negara tersebut. Setiap negara mempunyai undang-undang tersendiri berkaitan wasiat, pewarisan, dan pengagihan harta pusaka kepada penerima manfaat. 

      Bolehkah saya membatalkan wasiat saya sendiri mengikut hukum Islam?

      Ya, anda boleh membatalkan wasiat anda pada bila-bila masa. Wasiat akan terbatal secara automatik dalam keadaan berikut, selaras dengan hukum Islam:

      1. Menulis Wasiat Baru

      Jika anda menulis wasiat baru, ia akan menggantikan wasiat lama dan membatalkan segala isi kandungannya. Dalam Islam, isyarat ini diterima sebagai menggantikan kehendak yang terdahulu.

      2. Berkahwin atau Berkahwin Semula

      Mengikut hukum Islam, wasiat boleh terbatal jika seseorang berkahwin atau berkahwin semula, kerana perkahwinan baru boleh mengubah pengagihan harta dan penerima manfaat. Ini adalah untuk memastikan bahawa harta pusaka diagihkan dengan adil berdasarkan keadaan keluarga yang terkini.

      3. Pemusnahan Wasiat Asal

      Jika wasiat asal dimusnahkan secara sengaja, ia dianggap terbatal, kerana dokumen tersebut sudah tidak sah untuk merujuk kepada kehendak terakhir pewasiat.

      4. Pembatalan Wasiat Secara Sukarela Secara Bertulis

      Anda boleh membatalkan wasiat secara sukarela melalui pengisytiharan bertulis, yang disaksikan oleh dua individu yang sah mengikut syarat Islam. Pengisytiharan ini perlu dilakukan dengan niat yang jelas dan mengikut prosedur yang sah untuk memastikan ia diterima.

      Nota Mengenai Perceraian: –

      Jika anda bercerai tetapi tidak berkahwin semula, wasiat anda tetap berkuat kuasa dan tidak terbatal secara automatik. Walau bagaimanapun, pembahagian harta perlu dilakukan mengikut hukum Faraid dan boleh melibatkan semakan semula wasiat untuk memastikan pembahagian yang adil mengikut undang-undang Islam.

      Secara keseluruhannya, pembatalan atau pengubahsuaian wasiat dalam Islam mesti dilakukan dengan niat yang sah dan mengikut peraturan syarak untuk memastikan kehendak terakhir anda dihormati dan dilaksanakan dengan tepat.

      Apakah yang dimaksudkan dengan “Wasiat Terakhir”?

      “Wasiat Terakhir” merujuk kepada dokumen wasiat yang sah dan terakhir yang anda tulis, yang menggantikan dan membatalkan semua wasiat terdahulu yang pernah ditulis. Setelah ditandatangani dan disaksikan dengan sewajarnya mengikut peraturan undang-undang, wasiat yang baru ini akan dianggap sebagai Wasiat Terakhir anda, kecuali jika ia dibatalkan atau digantikan oleh wasiat lain pada masa akan datang.

      Dalam konteks hukum Islam, Wasiat Terakhir ini juga perlu mematuhi prinsip Faraid, iaitu pengagihan harta mengikut undang-undang pewarisan Islam. Oleh itu, sebarang pengagihan harta dalam Wasiat Terakhir mesti memastikan bahawa bahagian waris yang ditetapkan oleh syarak dipatuhi, dan tiada penyalahan daripada hukum Islam.

      Bolehkah seseorang mencabar wasiat saya selepas saya meninggal dunia?

      Ya, seseorang boleh mencabar wasiat anda selepas anda meninggal dunia. Terdapat beberapa sebab mengapa wasiat boleh dicabar, antaranya:

      1. Ketidakpatuhan terhadap Undang-Undang

      Wasiat yang tidak sah atau tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang Malaysia, seperti tidak disaksikan dengan betul atau tidak ditulis mengikut undang-undang yang sah, boleh menyebabkan cabaran.

      2. Kehendak Tidak Sah

      Jika seseorang waris merasa bahawa wasiat tersebut tidak menggambarkan kehendak sebenar pewasiat, atau terdapat unsur penipuan, paksaan, atau ketidakwarasan semasa penulisan wasiat, mereka boleh memfailkan cabaran di mahkamah.

       3. Kehilangan Hak Waris

      Waris yang terlepas daripada agihan harta yang sah mungkin ingin mencabar wasiat jika mereka merasakan hak mereka terabai.

      Oleh itu, adalah sangat penting untuk memastikan wasiat anda sah dan selaras dengan Undang-Undang Malaysia serta hukum Islam, supaya ia tidak dicabar selepas kematian anda. Menulis wasiat dengan bantuan penasihat undang-undang yang berkelayakan dan memastikan semua prosedur diikuti dapat mengurangkan risiko cabaran terhadap wasiat anda.

      Apakah risiko yang terdapat dalam menulis wasiat?

      • Had 1/3 harta untuk bukan waris faraid

      Seorang Muslim hanya boleh mewasiatkan 1/3 daripada keseluruhan hartanya kepada bukan waris faraid (setelah hutang dilangsaikan). Harta selebihnya perlu diagihkan mengikut hukum Faraid.

      • Persetujuan waris faraid diperlukan

      Persetujuan waris Faraid diperlukan apabila Pewasiat mewasiatkan hartanya kepada ahli waris walaupun ianya tidak melebihi 1/3 dan apabila Pewasiat mewasiatkan hartanya kepada bukan ahli waris dengan kadar lebih daripada 1/3 daripada hartanya. Jika terdapat sebarang bantahan maka pengagihan harta lebihan tersebut akan dilaksanakan mengikut Faraid.

      • Penjagaan bagi penerima harta bawah umur

      Jika penerima harta dalam wasiat anda berumur di bawah 18 tahun pada masa kematian anda, bahagian meraka akan diamanahkan kepada penjaga yang dilantik sehingga mereka mencapai umur 18 tahun dan boleh menguruskan harta meraka sendiri (Guardian ad-litem)

      Saya tidak mempunyai Saksi, bolehkah saya melantik SmartWriter sebagai saksi saya?

      Ya, walau bagaimanapun, Wasiatku berhak mengenakan bayaran sehingga maksimum
      RM100/saksi bagi setiap wasiat.

      Produk SmartWills WasiatKu

      Apakah penulisan wasiat dalam talian SmartWills WasiatKu?

      Anda boleh merangka wasiat dengan pantas dan mudah dengan mengakses pautan “Penulisan Wasiat Dalam Talian” di laman web SmartWills WasiatKu di wasiatku.com.my dan mengikuti panduan dalam talian yang mudah.

      Tentukan cara pengagihan harta pusaka anda kepada benefisiari dengan memilih pakej pilihan anda. Selepas memasukkan dan mengesahkan semua data peribadi yang diperlukan, sistem kami akan membuat pengesahan. Anda kemudian boleh memilih untuk mencetaknya sendiri atau memilih Perkhidmatan Cetakan Premium SmartWills WasiatKu.

      Setelah melengkapkan pembayaran dalam talian (melalui Perbankan Dalam Talian, Kad Kredit, atau E-Dompet), anda akan menerima salinan lembut dokumen wasiat dalam format PDF yang dilindungi kata laluan melalui e-mel. Sebagai alternatif, salinan cetakan yang disediakan oleh SmartWills WasiatKu boleh dihantar ke alamat anda melalui kurier.

      Siapakah syarikat yang menawarkan perkhidmatan penulisan wasiat dalam talian ini?

      Perkhidmatan ini disediakan oleh SmartWills Wasiatku, sebuah platform dalam talian yang dimiliki dan dikendalikan oleh Wasiatku Fintech Sdn Bhd.

      Adakah wasiat dalam talian SmartWills WasiatKu sah?

      Wasiat dalam talian kami adalah dokumen yang mengikat secara sah. Ia disediakan dan dirangka khas oleh Panel Peguam kami dan disemak oleh Penasihat Undang-Undang dalaman kami. Wasiat ini mematuhi perundangan yang berkenaan, termasuk undang-undang syariah untuk umat Islam di Malaysia.

      Bolehkah saya menggunakan perkhidmatan dalam talian ini untuk menulis wasiat?

      Mana-mana individu muslim yang waras dan merupakan Warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, serta 21 tahun ke atas di Sabah, atau warga asing muslim (bukan warganegara Malaysia) yang mempunyai aset di Malaysia, boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian kami untuk merangka wasiat secara sah di Malaysia. Syarat-syarat ini memastikan anda memahami tujuan dan kepentingan dalam membuat wasiat mengikut undang-undang dan prinsip syariah yang berkenaan.

      Apakah fi yang perlu saya bayar untuk perkhidmatan dalam talian ini?

      Anda hanya perlu membayar fi pakej sekali sahaja untuk setiap wasiat yang anda rangka menggunakan perkhidmatan kami, seperti yang dinyatakan pada halaman “Harga” di laman web kami. Fi pakej yang disenaraikan TIDAK termasuk sebarang cukai kerajaan (termasuk, tetapi tidak terhad kepada, SST) yang akan dikenakan secara berasingan (Yuran dan Caj).

      Apakah tanggungjawab saya di bawah terma & syarat perkhidmatan ini?

      1. Anda mesti membaca, memahami, dan mematuhi dengan teliti semua arahan yang ditetapkan oleh SmartWills, serta membayar fi dan caj yang dikenakan. Segala transaksi hendaklah dilakukan mengikut prinsip yang sah di sisi undang-undang Islam.
      2. Anda bertanggungjawab untuk memastikan bahawa semua maklumat yang diberikan dan dimasukkan adalah tepat, jelas, dan menyeluruh, sesuai dengan prinsip keadilan dan ketelusan dalam Islam.
      3. Wasiat anda mesti dirangka mengikut Akta Wasiat 1959 (atau Ordinan Wasiat Sabah Cap. 158), dengan mematuhi prinsip-prinsip pewarisan Islam seperti yang termaktub dalam undang-undang syariah. Wasiat bagi umat Islam perlu memastikan bahawa pembahagian harta tidak bertentangan dengan pembahagian harta menurut hukum Islam.
      4. Jika anda tidak jelas tentang terma dan syarat yang terlibat, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat undang-undang bebas mengenai perkara yang berkaitan dengan wasiat anda, khususnya yang melibatkan pembahagian harta menurut hukum Islam.

      Apa yang akan berlaku jika saya gagal untuk memenuhi tanggungjawab saya?

      Jika anda gagal memenuhi tanggungjawab anda, kami mungkin tidak dapat memproses langganan anda, atau wasiat anda boleh dianggap tidak sah di bawah undang-undang Malaysia yang berkenaan, termasuk undang-undang Islam yang mengatur pembahagian harta bagi umat Islam.

      Apakah risiko menggunakan perkhidmatan dalam talian SmartWills Wasiatku?

      Risiko yang berkaitan dengan transaksi dalam talian akan dikenakan. Wasiat anda mungkin dianggap tidak sah mengikut undang-undang yang berkenaan, terutamanya jika anda gagal mematuhi Terma dan Syarat, atau tidak memastikan bahawa ia sesuai dengan undang-undang Syariah bagi umat Islam.

      Bagaimana cara untuk melanggan perkhidmatan penulisan Wasiat SmartWills?

      1. Anda mesti mempunyai nama pengguna dan kata laluan SmartWills Wasiatku yang sah setelah pendaftaran berjaya (pendaftaran adalah percuma).
      2. Anda mesti mempunyai semua dokumen yang relevan seperti nama penuh pewaris/benefisiari dan nombor NRIC/Passpot, nama penuh pentadbir dan nombor NRIC/Passpot, dan lain-lain.
      3. Log masuk ke wasiatku.com.my
      4. Klik ‘Penulisan Wasiat Dalam Talian’.
      5. Anda mesti membaca, memahami, dan bersetuju dengan Terma dan Syarat serta memberi persetujuan untuk pendedahan sebelum meneruskan.
      6. Pilih ‘Wasiat’.
      7. Ikuti arahan yang dipaparkan.

      Bagaimana SmartWills Wasiatku menyediakan untuk pengagihan aset?

      Perkhidmatan SmartWills Wasiatku kami membolehkan anda mengagihkan aset anda hanya dalam bentuk peratusan [%]. Jika anda ingin menyenaraikan semua aset anda, memberikan pengagihan khusus, atau mempunyai keperluan lain, sila hubungi Sokongan Chat Dalam Talian kami atau e-mel ke support@wasiatku.com.my untuk bantuan.

      Bolehkah saya menulis semula wasiat saya dalam perkhidmatan SmartWills Wasiatku?

      Anda boleh menulis semula wasiat anda bila-bila masa anda rasa perlu, seperti perubahan dalam benefisiari atau pengagihan. Untuk melakukannya, anda mesti memohon semula secara dalam talian sebagai permohonan baru. Anda akan dikenakan yuran pakej yang sama untuk setiap penulisan semula, kerana setiap penulisan dianggap sebagai permohonan wasiat baru.

      Untuk sebarang bantuan berkaitan permohonan penulisan semula anda, sila hubungi Sokongan Chat Dalam Talian kami atau e-mel ke support@wasiatku.com.my. Semua fi yang dinyatakan TIDAK termasuk cukai kerajaan (termasuk, tetapi tidak terhad kepada SST), yang akan disenaraikan secara berasingan pada invois.”

      Bolehkah saya membatalkan langganan untuk perkhidmatan ini?

      Ya. Anda boleh membatalkan langganan anda pada bila-bila masa sebelum pembayaran dilakukan. Jika pembayaran telah dibuat, tiada bayaran balik dibenarkan.

      Apa yang perlu saya lakukan jika terdapat perubahan pada butiran perhubungan saya?

      Jika terdapat perubahan pada butiran perhubungan anda, sila maklumkan kepada kami dengan segera. Anda boleh mengemas kini butiran perhubungan anda melalui akaun dalam talian SmartWills anda, atau anda boleh menghantar e-mel ke support@wasiatku.com.my untuk bantuan.”

      Bila saya akan menerima wasiat saya dalam salinan bercetak?

      SmartWills Wasiatku menyediakan pilihan untuk anda menyemak atau mengubah wasiat anda (terhad kepada sekali perubahan, tertakluk kepada terma & syarat yang berkenaan) dalam tempoh 1 hari selepas membuat pembayaran.
      Selepas tempoh semakan dan pengubahsuaian selama 1 hari, kami akan meneruskan dengan pencetakan dan menghantar salinan bercetak ke alamat pos anda dalam lima (5) hari bekerja yang berikutnya. Anda boleh menyemak status pencetakan dan penghantaran kurier melalui portal SmartClient kami dengan log masuk menggunakan alamat e-mel anda. Untuk sebarang bantuan, sila hubungi sokongan dalam talian kami atau e-mel ke support@wasiatku.com.my.

      Di mana saya boleh mendapatkan bantuan dan maklumat lanjut?

      Anda sentiasa boleh melawat Sokongan Chat Dalam Talian kami di laman web kami wasiatku.com.my atau emel kami di support@wasiatku.com.my.

      Mengapa memilih perkhidmatan SmartWills Wasiatku kami?

       

      • Dipercayai: Wasiat dalam talian kami dirangka oleh peguam berkelayakan, dan kandungannya disemak dan dikemas kini secara berkala.
      • Cepat: Anda boleh menyiapkan wasiat anda dengan cepat, hanya dalam beberapa jam sahaja.
      • Mudah: Perkhidmatan ini sesuai untuk mereka yang terlalu sibuk untuk mengunjungi agensi Pembuat Wasiat yang terdekat; anda boleh membuat wasiat anda pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
      • Mesra pengguna: Antara muka pengguna / User Interface (UI) dan pengalaman pengguna / User Experience (UX) perkhidmatan dalam talian kami sangat mesra pengguna, memerlukan kurang daripada 5 langkah untuk menyelesaikan wasiat.

      Adakah saya layak untuk menggunakan perkhidmatan ini?

      Sebelum anda meneruskan penggunaan perkhidmatan dalam talian kami, adalah penting bagi kami untuk memastikan bahawa anda memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang yang terpakai di Malaysia. Sila sahkan perkara berikut:-

      Untuk Pelan SmartWills Wasiatku

      • Saya adalah Warganegara Malaysia;
      • Saya berumur 18 tahun ke atas (untuk Semenanjung Malaysia dan Sarawak) dan 21 tahun ke atas (untuk Sabah);
      • Saya seorang muslim;
      • Saya waras dan tiada sebarang masalah mental yang menghalang kemampuan saya untuk membuat keputusan;
      • Saya boleh membaca dan menulis;
      • Saya faham bahawa dengan melengkapkan dan melaksanakan wasiat ini, wasiat ini akan menjadi wasiat dan Wasiat Terakhir saya yang akan secara efektif membatalkan semua wasiat saya yang terdahulu.
      • Saya telah membaca Terma dan Syarat yang terkandung di sini, serta bersetuju sepenuhnya dengan Terma dan Syarat tersebut.

      Untuk Pelan SmartWills Wasiatku Plus

      • Saya adalah bukan Warganegara Malaysia;
      • Saya berumur 18 tahun ke atas;
      • Saya seorang Muslim;
      • Saya waras dan tiada sebarang masalah mental yang menghalang kemampuan saya untuk membuat keputusan;
      • Saya boleh membaca dan menulis;
      • Saya faham bahawa dengan melengkapkan dan melaksanakan wasiat ini, wasiat ini akan menjadi wasiat dan Wasiat Terakhir saya yang akan secara efektif membatalkan semua wasiat saya yang terdahulu.
      • Saya telah membaca Terma dan Syarat yang terkandung di sini, serta bersetuju sepenuhnya dengan Terma dan Syarat tersebut.